Wednesday 7 January 2015

Kisah Dhob Yang Beriman


Kisah Dhob Yang Beriman




Diriwayatkan oleh Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wa an Nihayah bahawa al-Baihaqi menceritakan daripada Abu Mansur Ahmad bin Ali ad-Damaghaniy dari daerah Namim di Baihaq, mengenai sebuah kisah berikut yang disampaikan oleh Umar al-Khottob RA..

Rasulullah SAW sedang berjalan bersama-sama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi (Badwi atau Badawi adalah golongan suku kaum arab yang tinggal di padang pasir) daripada Bani Sulaim di hadapan Rasulullah SAW. Beliau membawa bersama-samanya seekor Dhob (sejenis biawak padang pasir, mempunyai corak badan seperti buaya, bersaiz seperti biawak, tetapi lidahnya berbeza daripada biawak kerana tidak bercabang - halal untuk dimakan tetapi Nabi SAW tidak memakannya) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi? Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi SAW, maka dia terus mendekati Nabi SAW lantas berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat dalam alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih, dan merah serta selainnya!"

Umar al-Khottob menjadi marah, lalu bangkit dan berkata, "Wahai Nabi Allah! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!" 

Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar, "Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"

Nabi kemudiannya berkata kepada Arab Badwi itu, "Apakah yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!"

Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah dhob ini beriman kepadamu, "katanya sambil mengeluarkan dhob itu lalu melemparkannya di hadapan Baginda.

Nabi SAW memanggil dhob itu. Kedengaran dhob itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, "Ya, wahai Nabi SAW!"

Nabi SAW bertanya, "Kepada siapakah engkau beriman?"

Jawab dhob itu, "Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di Syurga itu rahmat-Nya, dan dalam Neraka itu azab-Nya!"

Tanya Nabi SAW lagi, "Siapakah aku wahai dhob?"

Jawab si dhob, "Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendukung perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"

Mendengar kata-kata dhob itu, Arab Badwi itu lantas berkata, "Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku."

Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir, "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi SAW adalah pesuruh-Nya."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Quran."

Jawabnya, "Kalau begitu ajarkanlah saya al-Quran itu, wahai Nabi!" Baginda pun mengajarnya membaca surah al-Ikhlas.

Beliau berkata, "Saya tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!"

Nabi menambah, "Ini ialah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga daripada al-Quran. Jika engkau baca 2 kali seumpama dua pertiga daripada al-Quran dan jika engkau membaca 3 kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Quran."

Jawab Arab itu, "Sebaik-baik Tuhan itu ialah Tuhan kami, Dia menerima daripada kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!"

Nabi SAW bertanya kepadanya, "Adakah kamu memiliki harta?"

Jawab beliau, "Tiada seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin daripada saya."

Nabi SAW bersabda kepada para sahabat, "Berikann kepadanya apa-apa yang kamu ada!"

Para sahabat menghulurkan bantuan kepadanya hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin 'Auf RA bangun lantas berkata kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah! Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya memperolehnya ketika dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah SWT. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baharu kita ini!"

Nabi SAW bersabda, "Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di Akhirat. Allah SWT akan menganugerahimu di Akhirat kelak unta yang diperbuat daripada permata hijau, tengkuknya daripada permata kuning, memiliki pelana yang hebat dan unta itu akan melintasi titian sirot dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada hari Kiamat."

Kata Abdul Rahman, "Saya redho dengannya wahai Nabi Allah."

Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya daripada Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu ekor unta membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.

Dia bertanya, "Ke manakah haluan kamu?" Mereka menjawab, "Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita!" Arab Badwi itu berkata kepada kaumnya, "Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!"

Dia juga telah menceritakan tentang peristiwa dhob yang menyebabkan seluruh kaumnya beriman kepada Allah dan Rasulullah.

Sekian

Kisah Dhob Yang Beriman

Kredit kepada buku Himpunan Kisah Benar tapi Pelik 

Dibawakan oleh www.teknikfateh.com
Follow Instagram @teknikfateh




No comments:

Post a Comment