Wednesday 7 January 2015

Kisah Dhob Yang Beriman


Kisah Dhob Yang Beriman




Diriwayatkan oleh Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wa an Nihayah bahawa al-Baihaqi menceritakan daripada Abu Mansur Ahmad bin Ali ad-Damaghaniy dari daerah Namim di Baihaq, mengenai sebuah kisah berikut yang disampaikan oleh Umar al-Khottob RA..

Rasulullah SAW sedang berjalan bersama-sama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi (Badwi atau Badawi adalah golongan suku kaum arab yang tinggal di padang pasir) daripada Bani Sulaim di hadapan Rasulullah SAW. Beliau membawa bersama-samanya seekor Dhob (sejenis biawak padang pasir, mempunyai corak badan seperti buaya, bersaiz seperti biawak, tetapi lidahnya berbeza daripada biawak kerana tidak bercabang - halal untuk dimakan tetapi Nabi SAW tidak memakannya) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi? Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi SAW, maka dia terus mendekati Nabi SAW lantas berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat dalam alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih, dan merah serta selainnya!"

Umar al-Khottob menjadi marah, lalu bangkit dan berkata, "Wahai Nabi Allah! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!" 

Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar, "Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi nabi?"

Nabi kemudiannya berkata kepada Arab Badwi itu, "Apakah yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!"

Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, "Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah dhob ini beriman kepadamu, "katanya sambil mengeluarkan dhob itu lalu melemparkannya di hadapan Baginda.

Nabi SAW memanggil dhob itu. Kedengaran dhob itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, "Ya, wahai Nabi SAW!"

Nabi SAW bertanya, "Kepada siapakah engkau beriman?"

Jawab dhob itu, "Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, dan di Syurga itu rahmat-Nya, dan dalam Neraka itu azab-Nya!"

Tanya Nabi SAW lagi, "Siapakah aku wahai dhob?"

Jawab si dhob, "Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendukung perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!"

Mendengar kata-kata dhob itu, Arab Badwi itu lantas berkata, "Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku."

Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir, "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi SAW adalah pesuruh-Nya."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Quran."

Jawabnya, "Kalau begitu ajarkanlah saya al-Quran itu, wahai Nabi!" Baginda pun mengajarnya membaca surah al-Ikhlas.

Beliau berkata, "Saya tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!"

Nabi menambah, "Ini ialah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga daripada al-Quran. Jika engkau baca 2 kali seumpama dua pertiga daripada al-Quran dan jika engkau membaca 3 kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Quran."

Jawab Arab itu, "Sebaik-baik Tuhan itu ialah Tuhan kami, Dia menerima daripada kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!"

Nabi SAW bertanya kepadanya, "Adakah kamu memiliki harta?"

Jawab beliau, "Tiada seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin daripada saya."

Nabi SAW bersabda kepada para sahabat, "Berikann kepadanya apa-apa yang kamu ada!"

Para sahabat menghulurkan bantuan kepadanya hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin 'Auf RA bangun lantas berkata kepada Nabi SAW, "Wahai Rasulullah! Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya memperolehnya ketika dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah SWT. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baharu kita ini!"

Nabi SAW bersabda, "Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di Akhirat. Allah SWT akan menganugerahimu di Akhirat kelak unta yang diperbuat daripada permata hijau, tengkuknya daripada permata kuning, memiliki pelana yang hebat dan unta itu akan melintasi titian sirot dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada hari Kiamat."

Kata Abdul Rahman, "Saya redho dengannya wahai Nabi Allah."

Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya daripada Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu ekor unta membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.

Dia bertanya, "Ke manakah haluan kamu?" Mereka menjawab, "Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita!" Arab Badwi itu berkata kepada kaumnya, "Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!"

Dia juga telah menceritakan tentang peristiwa dhob yang menyebabkan seluruh kaumnya beriman kepada Allah dan Rasulullah.

Sekian

Kisah Dhob Yang Beriman

Kredit kepada buku Himpunan Kisah Benar tapi Pelik 

Dibawakan oleh www.teknikfateh.com
Follow Instagram @teknikfateh




Tuesday 16 December 2014

Waktu Dan Tempat Yang Paling Sesuai Untuk Hafaz


Assalamualaikum wbt,




Sesuatu yang perlu dihafaz kebiasaannya adalah sesuatu yang bersih dan bermanfaat. Contohnya, ayat-ayat al-Quran, hadis, ataupun sebarang ilmu. Oleh itu, kita memerlukan masa dan tempat yang sesuai bagi menghafaz dengan baik.

WAKTU HAFAZ

Para ulamak menetapkan waktu yang paling baik untuk seseorang memulakan hafazan adalah pada waktu sahur atau sebelum waktu subuh, ataupun boleh juga dilakukan selepas solat subuh. Selain itu, sebahagian ulamak berpendapat, waktu hafazan yang elok adalah selepas asar.

Ada yang menentukan sebaik-baik waktu hafazan al-Quran adalah seperti berikut:

❀ Waktu sahur atau akhir malam.

❀ Selepas solat subuh.

❀ Antara maghrib dan isyak.

❀ Sepanjang bulan Romadhon.

❀ Selepas melakukan solat malam dan berdoa.


TEMPAT YANG PALING SESUAI UNTUK HAFAZAN

Para ulamak menyebut beberapa tempat yang sesuai untuk seseorang melakukan hafazan, antaranya:

1. Masjid.

2. Tempat yang sunyi, iaitu tempat yang jauh daripada orang ramai dan bising serta hingar-bingar.a

3. Menjauhi tempat yang lagho seperti menghafaz di hadapan televisyen, menghafaz sambil melayari internet, menghafaz di kawasan pembinaan serta menghafaz di tempat maksiat.

4. Ziarah dan pergi ke taman adalah satu daripada cara bagi menambahkan ingatan. Ini adalah teknik dilakukan oleh penyelidik dan perkara ini diakui oleh mereka. Ini kerana, mencium bauan seperti bunga yang dapat menguatkan ingatan.

5. Penulis mengemukakan sedikit pendapat yang dikemukakan oleh Muhd Djarot Sensa melalui karangannya Quranic Quotient, seorang Muslim perlu melalui peringkat berikut dalam menuntut ilmu, iaitu:

❧ Menyedari.

❧ Menyerah diri.

❧ Membaca.

❧ Memerhatikan.

❧ Mempelajari.

❧ Menggunakan akal.

❧ Mengimani.

❧ Menghambakan.

❧ Berbuat baik.

❧ Mengambil pelajaran.

❧ Kembali kepada Allah SWT.

❧ Menghasilkan rasa takut yang sebenar kepada Allah SWT.


Kajian ini sebenarnya menyokong pandangan yang dikemukakan Al-Ghazali ketika menjelaskan kepentingan ilmu sebagai asas kepada mengenali Allah SWT dan ikhlas melakukan ibadah kepada-Nya.

Semoga anda beroleh manfaat dan tips berkenaan Waktu Dan Tempat Yang Paling Sesuai Untuk Hafaz ini. 

Dapatkan tips menghafaz cara kekal pula yang diberikan secara PERCUMA di dalam website kami di www.teknikfateh.com atau boleh terus Whatsapp ke 0177555344 untuk maklumat lebih lanjut.

Kredit kepada buku Hebatnya Kuasa Hafazan yang ditulis oleh S.S Ust Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ph.D. 

Monday 8 December 2014

Nama-Nama Indah Al-Quran





Al-Quran dijadikan Allah SWT dengan kemuliaan. Antaranya adalah dengan memberi nama-nama yang indah padanya.

1) AL-HUDA (PETUNJUK) - Surah 72: al-Jin ayat 13

2) AR-ROHMAH (KURNIAAN) - Surah 27: an-Naml ayat 77

3) AL-FURQON (PEMBEZA ANTARA BENAR DAN SALAH) - Surah 25: al-Furqon ayat 1

4) AL-KALAM (FIRMAN/PERKATAAN) - Surah 9: at-Taubah ayat 6

5) AS-SYIFA' (PENYEMBUH/PENAWAR) - Surah 10: Yunus ayat 57

6) AL-BAYAN (PENERANG) - Surah 3: Ali-Imron ayat 138

7) AT-TANZIL (YANG DITURUNKAN) - Surah 26: as-Syu3aro' ayat 192

8) AL-BUSHRO (BERITA GEMBIRA) - Surah 16: an-Nahl ayat 102

9) AL-MAU3IZOH (PERINGATAN) - Surah 10: Yunus ayat 57

10) AL-HUKM (HUKUM/PERATURAN) - Surah 13: ar-Ro3d ayat 37

11) BASOIR (PEDOMAN/PANDUAN) - Surah 45: al-Jaathiyah ayat 20

12) AL-QOUL (FIRMAN/UCAPAN) - Surah 28: al-Qosos ayat 51

13) NUR (CAHAYA) - Surah 4: an-Nisa' ayat 174

14) AL-BALAGH (PERKHABARAN) - Surah 14: Ibrohim ayat 52

15) AL-KITAB - Surah 2: al-Baqoroh ayat 2

16) AR-RUH (RUH) - Surah 42: ash-Shuro ayat 52

17) AL-HIKMAH (KEBIJAKSANAAN) Surah 17: al-Isro' ayat 39

*nombor 3 di dalam perkataan rumi adalah ejaan bagi huruf AIN. Kebanyakan Negara Arab sekarang menggunakan cara ini bila menulis sesuatu perkataan arab di dalam ejaan rumi supaya lebih jelas huruf apa yang hendak disebut. 

Contoh di atas MAU3IZOH. Di dalam bahasa arab ( موعظة )

Rujukan Ensiklopedia al-Quran

Semoga bertambah ilmu anda tentang nama-nama indah al-Quran 

Follow instagram @teknikfateh untuk mendapatkan info berkaitan al-Quran dan hadis setiap hari.


Zamir Aizat
Pengasas DVD Teknik al-Fateh
Mengaji Semudah AEIOU
www.teknikfateh.com

Saturday 6 December 2014

Adab Sebelum, Ketika dan Selepas Membaca al-Quran


Assalamualaikum wbt,



Adab Sebelum, Ketika dan Selepas Membaca al-Quran

Adab-Adab Sebelum Membaca al-Quran;

NIAT - Pastikan niat anda benar-benar ikhlas kerana Allah SWT (mengharapkan pahala dan syafaat al-Quran)

SUCI - Anda mestilah berada dalam keadaan suci daripada hadas besar dan haid. HARAM membaca, memegang dan membawa al-Quran dalam keadaan berhadas besar.

BERSIWAK - Menggosok gigi atau bersiwak sebelum mula membaca al-Quran

BERWUDUK - Sunat berwuduk sebelum membaca al-Quran.


Adab-Adab Ketika Membaca al-Quran;

BERSIH - Berpakaian yang bersih dan menutup aurat dan membaca al-Quran di tempat-tempat yang bersih, tenang dan baik.

DUDUK MENGHADAP KIBLAT - Sunat menghadap ke arah kiblat ketika membaca al-Quran.

TINGGIKAN KEDUDUKAN AL-QURAN - Memuliakan al-Quran dengan meninggikan kedudukannya ketika dibaca, iaitu tidak meletakkannya terlalu bawah. Yang terbaik atas daripada kedudukan pusat kita.

MEMBACA TA3AWUZ - iaitu ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) "A3uzubillahi minashaitho nirrojim" 

TAJWID - Membaca al-Quran dengan menjaga hukum tajwidnya, makhraj (tempat keluar) bagi setiap huruf dan menjelaskan setiap sebutan-sebutannya.

TERTIB & TARTIL - Membaca al-Quran dengan penuh tertib. Membaca al-Quran dengan tartil (memenuhi hukum-hakam bacaan al-Quran), cermat dan tidak tergesa-gesa, tergopoh-gapah dan terlalu cepat untuk menghabiskannya.

PENGHAYATAN - Fokus ketika membaca al-Quran, membaca dengan penuh penghayatan bagi setiap ayat al-Quran yang dibaca dan berusaha untuk membaca al-Quran sehingga menimbulkan kesan di dalam hati.

Adab-Adab Selepas Membaca al-Quran;

DOA - Berdoa seusai membaca al-Quran kerana waktu tersebut merupakan di antara waktu mustajab untuk membaca doa.

CIUM - Sunat mengucup atau mencium al-Quran kerana memuliakannya. (rujukan ensiklopedia al-Quran)

Adab-Adab Tambahan;

BERWANGI-WANGIAN - sunat memakai wangian ketika membaca al-Quran kerana ia dapat menambahkan lagi suasana damai dan khusyuk ketika membaca al-Quran.

WAKTU - Waktu yang paling sesuai untuk membaca al-Quran sambil mentadabbur (menghayati) adalah pada satu pertiga malam (sekitar jam 2-3 pagi), jam 5 pagi (waktu sahur), selepas solat subuh (sehingga masuk waktu dhuha), selepas maghrib dan selepas isyak (15-30 minit sebelum masuk tidur) kerana pada waktu ini persekitaran kita tidak terlalu banyak gangguan dan bunyi bising.

Tetapi sewaktu di dalam bulan Romadhon, kesemua waktu adalah sangat sesuai untuk membaca al-Quran kerana bulan Romadhon adalah bulan al-Quran.

DILARANG membaca al-Quran sambil menonton tv, melayari internet, bermain dengan gajet atau telefon pintar, berborak, makan (minum dibolehkan sekadar menghilangkan dahaga ketika membaca al-Quran), dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.   

Semoga entri Adab Sebelum, Ketika dan Selepas Membaca al-Quran memberikan manfaat buat anda semua. Entri ini hanya berkongsi adab-adab sahaja, segala hukum-hakam dan kekhilafan ulamak tidak akan dibahaskan disini.

Wallohua3lam

Follow Instagram @teknikfateh untuk mendapatkan info-info menarik tentang al-Quran, bacaan doa, bacaan al-Quran secara bertajwid dan banyak lagi perkongsian2 ilmu agama. 

 -Rujukan Ensiklopedia al-Quran dll.-

Disusun oleh;

Zamir Aizat
Pengasas DVD Teknik al-Fateh
Mengaji Semudah AEIOU
www.teknikfateh.com





Mengapa Perlu Belajar Mengaji Al-Quran Menggunakan Teknik LAMA atau OLD SCHOOL??

Assalamualaikum wbt,

Sihat?? Saya doakan anda sentiasa berada di dalam rahmat Allah swt sentiasa. Hari ini saya ingin kongsikan sedikit tips atau pengalaman saya selama mengajar al-Quran semenjak berumur 15 tahun lagi dan saya merasakan terpanggil untuk berkongsi dengan anda salah satu cara untuk membolehkan anak anda atau anda sendiri mempelajari membaca al-Quran dengan lebih cepat dan berkesan insha-Allah.

Ramai guru-guru al-Quran di dalam Malaysia ini masih menggunakan teknik lama dalam mengajar anak-anak muda atau kanak-kanak semasa pembelajaran al-Quran. Ini bukan kerana mereka tak pandai membaca al-Quran atau tidak mahir dalam bacaan al-Quran cuma mereka dah diajar sebegitu sewaktu zaman muda lagi. Ini termasuklah diri yang sedang menulis entri ini. Kita semua sudah maklum kalau start nak belajar membaca al-Quran ni for sure semua guru akan memulakan pelajaran dengan mengenal huruf-huruf hijaiyyah (huruf-huruf abjad di dalam bahasa arab al-Quran). Setuju??

Saya ingin bertanya kepada anda, sewaktu anda membaca al-Quran, anda melihat kebanyakan setiap huruf di dalam al-Quran itu mempunyai baris atau tidak?? Kalau tidak berapa pasti, sila buka al-Quran sekarang. Ok dah tengok?? Apa jawapan anda?? Saya yakin anda akan berkata, kesemua huruf-huruf di dalam al-Quran mempunyai baris, tidak kira sama ada ianya berbaris atas, berbaris bawah, berbaris hadapan, tanwin dan sebagainya.

Jadi persoalannya, mengapa anda mempelajari membaca al-Quran pada peringkat awal dengan mempelajari huruf-huruf hijaiyyah (yang tidak berbaris), sedangkan huruf-huruf hijaiyyah ini kita hanya baca di awal sebahagian surah-surah di dalam al-Quran seperti di awal surah al-Baqoroh (nanti saya terangkan kenapa saya tulis al-Baqoroh bukan al-Baqarah di dalam entri lain), diawal surah Yasin, surah Toha, surah Yusuf, surah Maryam dan sebagainya. Adakah anda setuju dengan apa yang saya katakan?? Jika YA Alhamdulillah, ini bermakna sel-sel otak anda berhubung dengan baik. Jadi, mengapa perlu belajar mengaji al-Quran menggunakan teknik lama atau old school kan??

Jadi apa saranan saya untuk anda atau guru-guru al-Quran yang lain sewaktu nak mulakan pembelajaran?? Nak belajar apa dulu ni?? Dah tak sabar nak tau ni. Jawapan saya mudah sahaja. Di awal perenggan tadi anda sudah bersetuju mengatakan yang huruf-huruf al-Quran kebanyakannya berbaris bukan?? Kalau nak lebih terperinci, kita lihat lebih kurang 99.9% huruf-huruf di dalam al-Quran kesemuanya berbaris dan hanya 0.01% sahaja yang tidak berbaris.

Jadi saranan saya mulakan pembelajaran dengan mempelajari huruf yang berbaris terlebih dahulu. Dan lebih baik dimulakan dengan baris atas terlebih dahulu sebagai asas mempelajari al-Quran dan bukannya mempelajari huruf-huruf hijaiyyah. Ini kerana bedasarkan pengalaman saya mengajar al-Quran semenjak berumur 15 tahun lagi, saya dapati mereka yang mulakan pengajian dengan mengenal huruf-huruf hijaiyyah terlebih dahulu akan jauh ketinggalan dengan mereka yang mempelajari terus huruf yang berbaris atas.

Boleh saya kongsi pengalaman saya?? Saya pernah mengajar seorang lelaki dewasa (umurnya melebihi 40 thn) yang tidak mempunyai asas mengaji. Saya ubah teknik mengajar dengan mengajar terus huruf yang berbaris atas, baris bawah, baris hadapan, huruf yang bersambung dan sebagainya (mengikut silibus yang sudah disusun lengkap di dalam DVD yang saya sudah rakamkan) Dan ternyata berhasil kerana dalam masa 16-18 jam pembelajaran (saya mengajar dia sejam sehari) selama sebulan, dia lebih cepat dapat membaca al-Quran dengan menggunakan kaedah ini.

Jadi, kesimpulannya bukan kerana saya ini bagus, tapi kadangkala kita kena kreatif dalam menyampaikan ilmu agar ianya mudah di’hadam’ oleh anak murid kita. Pernah dengar petikan yang diucapkan oleh Albert Einstein 



“If you can’t explain it SIMPLY, you don’t understand it well enough.”
Yang bermaksud (lebih kurang la, betulkan saya jika silap ya) “Jika anda tidak mampu menjelaskan sesuatu perkara dengan MUDAH, anda sebenarnya tidak faham perkara tersebut dengan baik.

Jadi cukuplah dahulu untuk perkongsian saya bagi entri pertama ini yang bertajuk Mengapa Perlu Belajar Mengaji Al-Quran Menggunakan Teknik Lama atau Old School. Doakan saya istiqomah untuk berkongsi ilmu lagi ye. Dan semoga anda beroleh manfaat dengan perkongsian ini. 


Andai saya mempunyai kesilapan atau kekhilafan janganlah terus dikeji tetapi tegurlah dengan cara yang baik atau dengan berhikmah. Saya tidak sempurna. Hanya terus mencuba untuk menjadi insan yang lebih baik dan boleh memberikan manfaat buat insan lain.



Zamir Aizat
Pengasas DVD Teknik al-Fateh
Mengaji al-Quran Semudah AEIOU
www.teknikfateh.com
@teknikfateh (Instagram)
teknikfateh@gmail.com